~ OLEH HASBULLAH AWANG CHIK

Datuk A Samad Said menyertai perjuangan untuk keadilan bagi kes Teoh Beng Hock (dalam bingkai gambar) sebagai pengerusi Teoh Beng Hock Trust For Democracy. – Gambar fail The Malaysian Insider, 7 November, 2014.

Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) hari ini mengumumkan usaha mereka mengumpulkan dana bagi memastikan keadilan diperolehi ekoran kematian Teoh Beng Hock.

NGO berkenaan akan menganjurkan satu majlis makan malam pada 5 Disember ini bagi menampung perbelanjaan gerakan mereka selain memberi kesedaran kepada masyarakat tentang hak asasi manusia.

“Kita perlu mengumpul dana kerana aktiviti yang berlanjutan. Bekalan wang itu bukan sahaja untuk bengkel umum tetapi membantu mangsa dan anak isteri mendiang yang perlu dibantu.

“Itu antara yang kami usahakan dengan adanya wang yang dikumpul beransur-ansur,” kata pengerusi Teoh Beng Hock Trust For Democracy, Datuk A Samad Said.
Majlis makan malam itu akan diadakan di Kompleks Mutiara, Kuala Lumpur pada jam 7 malam dan mereka yang berminat boleh membeli tiket berharga RM100 atau menyumbang melebihi RM1,000 dan akan disenaraikan sebagai penganjur program.

Mahkamah Rayuan pada 5 September memutuskan untuk mengenepikan keputusan terbuka koroner berhubung kematian Teoh kerana terdapat keterangan yang menunjukkan kecederaan sebelum mendiang jatuh dan kematiannya disebabkan, atau dipercepat oleh seseorang, atau lebih seorang individu yang tidak diketahui.

Hakim berkata koroner memberikan keputusan terbuka, manakala RCI mendapati Teoh didorong membunuh diri kerana ditindas secara berterusan dan disoal siasat secara agresif oleh tiga orang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam satu jawapan bertulis Parlimen berkata Jabatan Peguam Negara akan mengkaji semula dan membuat keputusan selepas siasatan polis dilakukan terhadap kematian Teoh.

Katanya, pihak polis sudah menubuhkan satu pasukan siasatan khas bagi membuka semula siasatan terhadap kes kematian Teoh.

“Sekiranya keterangan mengikut keadaan dipatuhi kukuh dan mencukupi untuk mewajarkan pendakwaan, maka pendakwaan akan dimulakan,” katanya menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.

Najib berkata pendakwaraya akan membuat keputusan mendakwa mereka yang terlibat sama ada di bawah Kanun Keseksaan atau undang-undang lain yang bersesuaian sekiranya terdapat bukti kukuh mengaitkan mana-mana pihak. – 7 November, 2014.

Sumber Artikel: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/ngo-kumpul-dana-teruskan-tuntutan-kematian-teoh-beng-hock