Kenyataan Media Teoh Beng Hock Trust for Democracy,19hb November 2016

Teoh Beng Hock Trust for Democracy mengecam tindakan polis menahan Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) Maria Chin Abdullah dengan menyalahgunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). Ini bercanggah dengan matlamat asal penggubalan akta tersebut iaitu untuk membendung aktiviti teroris. Tindakan polis telah menghina akta yang diluluskan oleh parlimen dan merosakkan kedaulatan undang-undang negara. Kami menggesa Menteri Dalam Negeri menghormati hak demokrasi rakyat, membebaskan Maria Chin Abdullah dengan segera dan menghentikan penindasan terhadap aktivis pro-demokrasi yang memperjuangkan pilihanraya yang bersih dan adil.

SOSMA sepatutnya digunapakai untuk kes keganasan berkumpulan (organized violence), menghasut ketidakpuasan hati terhadap Yang Di-Pertuan Agong dan mengancam ketenteraman dan keselamatan awam. Maria Chin tidak pernah terlibat dalam aktiviti keganasan dan hasutan. Tuduhan bahawa BERSIH mengancam ketenteraman dan keselamatan awam adalah tidak masuk akal, malah Gabungan BERSIH sudah pun menganjurkan lima kali himpunan raksasa dengan BERSIH lancar dan terbukti aman. Malah, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Abdul Aziz pula menggalakkan BERSIH menganjurkan himpunan setiap tahun.

Oleh yang demikian, Polis langsung tidak ada alasan yang munasabah untuk menahan Maria Chin di bawah SOSMA. Penyelewengan kuasa dalam penahanan seseorang warganegara telah menjadikan Malaysia sebuah negara polis!

Kami menegaskan bahawa perhimpunan aman adalah kebebasan yang dijamin oleh Persembahan Persekutuan Malaysia. Ia juga dianggap hak asasi sejagat di bawah Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 dan Kovenan Antarabangsa Hak Sivil dan Politik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (ICCPR). Kerajaan bertanggungjawab menjamin hak rakyat menyuarakan pendapat dan memastikan himpunan dijalankan secara aman, tanpa kira ia himpunan menyokong pilihanraya bersih dan adil, himpunan anti-BERSIH ataupun himpunan menuntut Perdana Menteri meletak jawatan. Kerajaan tidak sepatutnya menahan pemimpin aktivis dan pemimpin pembangkang sehari sebelum himpunan Bersih 5 dan menyekat jalan raya utama di bandaraya Kuala Lumpur.

Teoh Beng Hock Trust for Democracy juga menyeru polis membebaskan aktivis dan pemimpin pembangkang tanpa syarat dengan segera dan memulangkan harta BERSIH. Mereka yang ditahan termasuk pengurus BERSIH Mandeep Singh, dua orang pemimpin mahasiswa, dua orang ADUN DAP, bekas setiausaha agung Parti Sosialis Malaysia Arul Chelvan, pemimpin baju merah Jamal dan lain-lain. Alasan penahanan polis iaitu “Kecelaruan” (Rioting) dan “Merosakkan demokrasi berparlimen” langsung tidak berasas. Kejayaan himpunan aman yang dianjurkan oleh BERSIH dan baju merah, kebolehan polis mengawal tindakan radikal segelintir baju merah, menunjukkan Polis mampu mengawal himpunan aman dengan baik.

A.Samad Said
Pengerusi
Teoh Beng Hock Trust for Demokrasi