Kenyataan Media Badan Amanah TBH Demi Demokrasi pada 12hb Oktober 2015

Badan Amanah TBH demi Demokrasi (Teoh Beng Hock Trust for Democracy) mengumumkan satu skim bantuan kewangan kepada keluarga mangsa kematian dalam lokap dan peguamnya dengan tujuan menyokong rakyat menuntut keadilan dalam kes-kes mencabul hak asasi manusia, khasnya mereka yang berasal dari keluarga kurang upaya dari segi kewangan.

Skim tersebut membenarkan keluarga mangsa memohon bantuan kewangan untuk perbelanjaan dalam inkues sebanyak RM6,000 atau 50% daripada jumlan perbelanjaan, yang mana lebih rendah. Kos yang diberi subsidi termasuk kos pengangkutan keluarga mangsa dan peguamnya dari tempat kediaman keluarga mangsa ke destinasi mahkamah, kos penginapan dan subsidi makanan untuk tempoh menghadiri inkues. Jika kes tersebut dibawa ke mahkamah atasan seterusnya, maksimum bantuan kewangan untuk kes tersebut adalah RM10,000.

Kami menyeru keluarga mangsa, peguam atau NGO-NGO yang mengendali kes-kes kematian dalam lokap memuat turun borang permohonan skim tersebut daripada laman web Teoh Beng Hock Trust for Democracy untuk mengemukakan permohonan.

Kami juga ingin mengumumkan bahawa permohonan pertama yang diluluskan adalah kes Kamarulnizam Ismail dari Bukit Mertajam. Kamarulnizam adalah seorang pekerja kilang yang ditahan sejak 3 Mac 2014 dan didapati mati di penjara Tapah pada 8 Mac 2014 atas sebab ‘Infeksi dada’. Keluarga Kamarulnizam mensyaki punca kematian sebenar Kamarulnizam adalah kerana terdapat lebam pada pipi kanan dan bawah lengan kiri badannya. Sejak bulan Julai 2015, Badan Amanah TBH demi Demokrasi telah menyumbang sebanyak RM3,000 ke atas kes ini.

Kami menegaskan bahawa kerajaan mesti mengambil sikap tolerasi sifar terhadap kematian dalam lokap atau agensi kerajaan. Menurut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia(SUHAKAM), sebanyak 242 kes kematian dalam lokap polis telah dilaporkan dari 2000 hingga 2014. Pihak polis diraja Malaysia, pusat tahanan, penjara dan SPRM perlu mengambil langkah-langkah untuk menghormati hak asasi rakyat di bawah tahanannya, keganasan polis mesti dihentikan dan hak akses kepada perkhidmatan kesihatan mesti dijamin.