Kenyataan Media Badan Amanah TBH Demi Demokrasi 28hb September 2014

Badan Amanah TBH Demi Demokrasi mengecam penahanan kali ke-4 Ali Abdul Jalil oleh pihak polis. Polis harus menghentikan penyalahgunaan kuasa setelah menahan beliau selama 20 hari. Ketua Polis Negera mesti membebaskan ali dengan segera dan memohon maaf daripada Ali.

Penyalahgunaan kuasa polis dalam kes Ali, sekali lagi membuktikan cadangan IPCMC (Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis) pada zaman bekas Perdana Menteri Abdullah Badawi perlu dilaksanakan dengan segera. Ia merupakan satu saluran aduan kepada semua mangsa penyalahgunaan kuasa polis – termasuk keluarga Ali. Kami menggesa Kerajaan Najib supaya membentangkan rang undang-undang IPCMC dalam sesi mesyuarat Parlimen pada oktober 2014. Kelulusan undang-undang tersebut menjaminkan hak asasi manusia semua rakyat.

Sehingga sekarang, kerajaan tidak memberi sebarang penjelasan tentang dakwaan pemukulan Ali semasa beliau ditahan dalam penjara Sungai Buloh. Kementerian Dalam Negeri digesa supaya memandang serius terhadap tuduhan ini dan menjalankan siasatan bebas secepat mungkin. Semua agensi penguatkuasaan kerajaan mesti menjamin keselamatan orang tahanan. Peristiwa penyeksaan orang tahanan tidak boleh diterima oleh masyarakat bertamadun. Kerajaan Najib harus menandatangani Konvensyen Membantah Penyeksaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya semua tempat tahanan agensi penguatkuasaan mencapai piawai hak asasi manusia antarabangsa.

Pada 8hb Sept 2014, Ali Abdul Jalil ditahan oleh polis dan didakwa di mahkamah seksyen Selayang kerana dituduh mengeluarkan kenyataan yang menghina Sultan. Selepas ikat jamin, beliau ditahan oleh polis dan dipenjarakan di penjara Sungai Buloh. Ali dilepaskan pada 23hb September 2014, tetapi polis menahan beliau semula serta-merta dan membawa beliau ke Johor Bahru untuk menjalankan siasatan selanjutnya. Penahanan Ali dipanjangkan selama 4 hari lagi. Pada 27hb September 2014, setelah dilepaskan, Ali ditahan sekali lagi dan dibawa ke IPD Nusajaya dan mahkamah meluluskan penahanannya 3 hari lagi.