Parlimen : Kertas siasatan kematian Teoh Beng Hock dikembalikan kepada pegawai penyiasat

—————————————————————————————————————

Soalan No : 25

Pemberitahuan Pertanyaan Jawab Lisan Dewan Rakyat
Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua,
Parlimen Kelima Belas, 2023

Pertanyaan : Jawapan Lisan

Daripada : YB Tuan Chow Yu Hui [Raub]

Tarikh : 20 Mac 2023 (ISNIN)

SOALAN

TUAN CHOW YU HUI [RAUB] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan status siasatan semula mendiang Teoh Beng Hock sejak 2018 dan kesudian Kerajaan Perpaduan menubuhkan satu pasukan siasatan baru untuk menyiasat kes tersebut di bawah seksyen 302 atau 304 Kanun Keseksaan.

JAWAPAN

Tuan Yang Di Pertua,

Susulan Keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM) pada tahun 2018, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kembali kertas siasatan kes berkenaan di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan (kurungan Salah). Kertas siasatan tersebut telah dikembalikan oleh pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) kepada pegawai Penyiasat (IO) pada 6 Januari 2023. Pihak PDRM telah diminta untuk membuat rakaman percakapan lanjut saksi-saksi penting sebelum mengemukakan semula kertas siasatan tersebut kepada AGC bagi arahan selanjutnya.

Sehubungan ini, PDRM akan memanggil semula saksi-saksi tersebut bagi melengkapkan kertas siasatan dan saya tidak berhasrat untuk mengulas lebih lanjut berhubung kes ini bagi mengelakkan ianya mengganggu siasatan.

Sumber : Soalan dan Jawapan parlimen