Salam sejahtera, tuan-tuan dan puan-puan,

 

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para hadirin kerana meluangkan masa untuk menghadiri konsert demi mewujudkan satu masyarakat tanpa penyiksaan ini. Walaupun konsert ini merupakan salah satu aktiviti ulang tahun ke-10 pemergian Teoh Beng Hock, pihak Teoh Beng Hock Trust for Democracy tidak pernah lupa pada kes-kes kematian dalam tahanan lain yang pernah berlaku di Malaysia.

 

Saya amat terharu dengan kehadiran 5 keluarga mangsa yang menghadapi peristiwa yang tidak diingini seperti Keluarga Teoh iaitu: keluarga Kamarunizam, Syed Azlan, Benedict dan Ahmad Sarbani. Empat daripada keluarga ini akan mengongsikan cerita-cerita suami atau abang adik yang dicintai oleh mereka. Perkara ini dilakukan bukanlah untuk memanggil semula memori yang menyakiti hati, tetapi tujuannya ialah untuk mengingati orang awam dan kerajaan bahawa ketidakadilan bagi kes-kes kematian dalam tahanan ini masih belum selesai dan harus ditangani dengan baik dengan mereformasikan institusi kerajaan, juga mencegah kematian dalam tahanan untuk tidak berlaku sekali lagi.

 

Dengan aktiviti-aktiviti seperti ini dan kerja-kerja advokasi polisi kami dan NGO lain, saya percaya kita dapat melobi kerajaan untuk menambahbaikkan tempat-tempat tahanan pihak penguatkuasa mengikut landsasan yang ditetapkan dalam hak asasi manusia, lebih berperikemanusiaan dan tanpa penyiksaan.

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

Dengan ini kami meminta kerajaan pusat untuk mengambil langkah-langkah tersebut untuk menghentikan kematian dalam tahanan:

 

  1. Penggubalan satu akta anti penyiksaan (anti torture act) dengan menjadikan peyiksaan atau layanan tidak berperikemanusiaan sebagai satu jenayah.
  2. Ratifikasi Konvensyen Terhadap Penyiksaan PBB (UN Convention against torture).
  3. Pendidikan hak asasi manusia untuk semua pegawai penguatkuasa dan penjawat awam.
  4. Memastikan semua orang tahanan berhak akses kepada peguam untuk menghalang penyalahgunaan kuasa
  5. Meminda seksyen 30 Akta SPRM yang membenarkan pegawai SPRM menahan dan menyoalsiasat secara berterusan. Siasatan seharusnya hanya dari 9am hingga 5pm.
  6. Mendakwa semua pegawai penguatkuasa yang mengakibatkan kematian dalam tahanan dan memberi pampasan khas kepada semua keluarga mangsa kematian dalam tahanan.

 

Para hadirin sekalian,

 

Musik ialah bahasa sejagat manusia, kami percaya dengan menggunakan musik dan lagu, kita boleh menyambungkan semua rakyat Malaysia tanpa kira kaum atau agama kepada satu isu yang mendatangkan kesan buruk kepada kemanusiaan.

 

Dengan ini, saya berharap semua menikmati konsert muzik hari ini. Saya ingin menamatkan ucapan saya dengan menggunakan lirik lagu Blowing In The Wind yang akan dipersembahkan nanti – “Berapa banyak kematian lagi diperlukan sehingga seseorang sedar bahawa terlalu banyak orang sudah mati?” (How many deaths will it takes till he knows, that too many people have died.)

 

Sekian terima kasih.