Gabungan Tuntut IPCMC
Memorandum Menuntut Kerajaan Melaksanakan IPCMC
8 APRIL 2019
Latar belakang
Pada 22 September 2018, Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) akan ditubuhkan bagi menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Pengatkuasaan (EAIC). Pada tahun 2005 penubuhan IPCMC mula-mula dicadangkan oleh Laporan Suruhanjaya Diraja bagi Meningkatkan Operasi dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia di bawah “Cadangan Dua Belas: Menubuhkan Mekanisme Pengawasan Bebas”. Kini sudah masuk tahun ke-13 semenjak IPCMC mula dicadangkan dan penantian ini masih berterusan.
Tambahan lagi, di dalam manifesto Pakatan Harapan janji yang ke-20 berkenaan menjadikan Angkatan Tentera Malaysia dan pasukan Polis Diraja Malaysia sebagai sebuah pasukan yang dihormati dan disegani menyebut bahawa, “Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah laku Polis (IPCMC) akan ditubuhkan dalam penggal pertama pemerintahan Pakatan. Semua tuduhan salah laku akan disiasat dengan cara yang adil dan menyeluruh, termasuk tuduhan melibatkan kematian dalam tahanan.”
Mendepani Malaysia Baru yang digagaskan oleh Pakatan Harapan yang telah pun kini menjadi sebuah kerajaan telah memberikan harapan kepada rakyat yang mengimpikan perubahan khususnya dari segi layanan hak asasi manusia. Namun berdepan dengan cabaran untuk membawa misi perubahan ini ternyata agak sukar. Kami memahami liku-liku yang dihadapi oleh pihak kerajaan dalam berdepan hal sedemikian. Namun begitu, kami berpandangan bahawa kerajaan mesti segera melakukan sesuatu bagi mengelakkan persepsi negatif rakyat terhadap kerajaan yang masih baru ini.
Dalam meraikan kemenangan Pakatan Harapan sebagai sebuah kerajaan baru, salahguna kuasa dan juga penindasan yang dilakukan oleh pihak polis masih berlaku. Kes-kes seperti kematian dan penderaan didalam tahanan, masih dilaporkan seperti biasa sama seperti era pemerintahan Barisan Nasional dahulu. Justeru, janji dan manifesto Pakatan Harapan sebelum menjadi kerajaan, iaitu untuk menubuhkan satu suruhanjaya siasatan yang bebas iaitu IPCMC yang diberikan kuasa untuk mengambil tindakan disiplin kepada para pesalah dalam kalangan anggota polis adalah sangat diraikan dan dinantikan oleh kami.
Mengapa perlunya IPCMC?
1. IPCMC Segera Demi Mengembalikan Kepercayaan Rakyat Kepada Polis
Tujuan mewujudkan dan melaksanakan IPCMC ini adalah demi memastikan negara ke arah sifar salahlaku dan penyalahgunaan kuasa oleh pihak polis sekaligus ke arah menjadikan polis kita sebagai sebuah badan yang peka dan cakna kepada integriti dan menghormati hak asasi manusia. Impaknya, rakyat akan memberikan penghormatan dan mengembalikan kepercayaan kepada badan penguatkuasa paling utama dalam negara
ini untuk menjalankan tugas mereka dengan baik, cermat dan penuh integriti. Negara kita juga akan dihormati dan dipandang tinggi di peringkat antarabangsa kerana memiliki pasukan polis yang dipercayai dan sentiasa terjaga integriti.
2. Memperkasakan prinsip operasi akauntabiliti, hak asasi manusia dan tadbir urus demokratik dalam pasukan polis.
3. Mengelakkan pemusatan kuasa berlebihan di tangan Ketua Polis Negara (KPN) dan Eksekutif.
4. Menjadi mekanisme semak dan imbang bagi melindungi kepentingan awam
Prinsip Panduan dalam menubuhkan IPCMC
1. IPCMC Mesti Benar-Benar Bebas dan Telus
Kami difahamkan pada 30 November 2018, didalam sesi meja bulat perbincangan mengenai IPCMC yang diadakan di bangunan Majlis Peguam, akta baru untuk menubuhkan IPCMC akan dikawal dan diselia oleh EAIC. Pihak daripada EAIC tidak pernah mengadakan perbincangan dan konsultasi bersama NGO-NGO tetapi hanya mengadakan konsultasi dengan pihak polis sahaja. Kami sangat tidak bersetuju dan membantah tindakan ini kerana segala draf untuk penggubalan akta bagi menubuhkan IPCMC telah pun dibincangkan dan dipersetujui lama dahulu iaitu pada tahun 2005 melibatkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan. Rang Undang-Undang untuk IPCMC ini telah pun menelan belanja yang banyak untuk kajian, perbincangan dan segala macam perbelanjaan lain yang tidak perlu lagi diulang oleh kerajaan hari ini. Draf ini sudah lengkap dan teratur untuk terus dibawa ke Parlimen dan diputuskan oleh kabinet untuk merealisasikan kewujudan IPCMC di negara ini. Kerajaan telah membelanjakan jutaan ringgit untuk menggubal Rang Undang-Undang ini dan tindakan mengulang proses ini oleh kerajaan baru Pakatan Harapan hanya akan membazirkan wang para pembayar cukai khususnya dan wang rakyat secara amnya.
2. Peranan PDRM dalam penubuhan IPCMC
Seperti yang ditegaskan, IPCMC adalah satu badan bebas untuk menyiasat salahlaku anggota polis yang dituduh melakukan kesalahan dan salahguna kuasa. Terdapat dua perkara penting di sini. Pertama, Walaupun PDRM boleh dan harus memberi maklum balas mengenai Rang Undang-Undang yang dicadangkan, PDRM tidak boleh memberikan kata putus. Kami menyedari bahawa terdapat beberapa bantahan oleh PDRM. Pada pandangan kami kabinet dan Jabatan Peguam Negara perlu memuktamadkan Rang Undang-Undang untuk memastikan IPCMC mempunyai kuasa yang berkesan dan tidak menjadi institusi tanpa gigi.
Kedua, komposisi IPCMC tidak boleh terdiri daripada pegawai yang masih berkhidmat atau bekas pegawai polis, ini selaras dengan cadangan oleh Laporan Suruhanjaya Diraja. Bekas pegawai polis boleh bertindak sebagai perunding atau penyiasat tetapi pesuruhjaya itu sendiri mestilah mereka yang tidak pernah berkhidmat di dalam pasukan polis.
Sekiranya pihak polis dimasukkan sekali ke dalam badan pelaksana atau dalam proses penggubalan akta ini, dikhuatiri suruhanjaya ini tidak akan dilihat bebas dan berintegriti kerana pihak polis yang hendak disiasat tetapi dalam masa sama pihak polis juga yang menyiasat. Sekiranya kerajaan berhasrat untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap pihak polis dan ingin melihat polis kita menjadi sebuah badan yang berintegriti dan dipercayai, biarkan suruhanjaya ini ditentukan oleh pihak selain polis dan berikan kebebasan kepada badan-badan NGO hak asasi manusia untuk menggubal dan menentukan proses perjalanan penggubalan akta ini.
3. IPCMC mesti mempunyai kuasa berkesan untuk bertindak secara bebas dan perlu diberikan kuasa berikut:
1) Menerima aduan dari orang awam mengenai dakwaan salah laku polis
2) Membuat keputusan sama ada untuk menyiasat aduan dengan sendiri atau dengan agensi-agensi lain.
3) IPCMC boleh memulakan siasatan dengan sendiri walaupun tanpa penerimaan aduan.
4) IPCMC hendaklah mempunyai kuasa untuk menyebabkan PDRM atau agensi-agensi lain yang berkaitan supaya mengemukakan untuk pemeriksaannya apa-apa dokumen atau barang-barang yang mempunyai kaitan ke atas kes.
5) IPCMC mempunyai kuasa untuk memanggil saksi dan mendengar keterangan bersumpah.
6) IPCMC hendaklah mempunyai kuasa untuk memasuki dan memeriksa mana-mana premis yang diduduki atau digunakan oleh badan awam atau badan kuasa berkanun.
7) IPCMC boleh, setelah memutuskan bahawa seorang pegawai polis bersalah melakukan salah laku atau kesalahan lain yang ditakrifkan dalam Akta IPCMC, memerintahkan tindakan yang difikirkannya patut diambil termasuk amaran dan pelepasan dari tugas, penggantungan elaun dan kenaikan, penurunan pangkat, denda atau pemecatan pegawai polis. Mereka yang terjejas oleh perintah ini boleh mencabar perintah itu melalui semakan kehakiman.
Kesimpulan
Kami juga ingin menyerahkan sesalinan Rang Undang-Undang yang telah dimuktamadkan oleh para “stakeholder” ketika penggubalan Rang Undang-Undang untuk IPCMC pada tahun 2005 yang turut dianggotai oleh Majlis Peguam Malaysia, NGO-NGO hak asasi manusia seperti SUARAM dan juga para ahli akademik. Diharapkan agar pihak kerajaan dapat rujuk kembali pada RUU yang dibuat pada tahun 2005 ini berkenaan IPCMC yang sudah cukup lengkap untuk dibentangkan. Kami juga berharap pihak pembangkang di Parlimen dapat menyokong kerajaan untuk melaksanakan IPCMC
segera demi kesejahteraan rakyat dan anggota polis. Sebagai kesimpulan untuk memetik
Laporan Suruhanjaya Diraja:
“Satu cara yang berkesan untuk memastikan bahawa doktrin, undang-undang, peraturan dan prosedur diperhatikan dan dilaksanakan adalah dengan penubuhan badan pengawasan luaran. Kaedah ini telah diterima pakai oleh banyak sistem kepolisian moden yang mana mekanisme dalamannya sahaja tidak mencukupi, tidak boleh dipercayai dan sering kali tidak berkesan. Budaya polis yang sering melihat ke dalam dan tertutup dan selalu berpandangan menolak perubahan. Perubahan kepimpinan juga boleh membawa kepada perubahan komitmen terhadap kecemerlangan perkhidmatan, disiplin dan prestasi. Oleh itu, masyarakat tidak boleh bergantung kepada mekanisme dalaman sahaja untuk memastikan PDRM melaksanakan dan mematuhi peraturan.
Penubuhan agensi pengawasan luaran untuk PDRM akan menjadi perkembangan penting dalam tadbir urus organisasi penting ini. Ia akan menandakan satu langkah ke hadapan dalam meningkatkan kebertanggungjawaban dan membantu memulihkan dan mengekalkan keyakinan rakyat dan sektor swasta terhadap PDRM.”
Ahli jawatankuasa Gabungan Menuntut IPCMC:
1. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
2. Eliminating Death in Custody Together (EDICT)
3. Bar Council Task Force on IPCMC
4. Society for the Promotion of Human Rights (PROHAM)
5. Pertubuhan IKRAM Malaysia
6. The Citizen Action Group on Enforced Disappearance (CAGED)
7. Amnesty International Malaysia
8. Parti Sosialis Malaysia (PSM)
9. Teoh Beng Hock Trust for Democracy (TBHTD)
Memorandum ini disokong oleh:
1. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
2. Eliminating Death in Custody Together (EDICT)
3. Task Force on Independent Police Complaints and Misconduct Commission
4. Society for the Promotion of Human Rights (PROHAM)
5. The Citizen Action Group on Enforced Disappearance (CAGED)
6. Teoh Beng Hock Trust for Democracy (TBHTD)
7. Amnesty International Malaysia
8. Pertubuhan IKRAM Malaysia
9. Desak Sampai Mansuh (DSM)
10. Lawyers for Liberty (LFL)
11. Knowledge and Rights with Young People Through Safer Spaces (KRYSS)
12. PLUsos (People Like Us Support Ourselves)
13. Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT)
14. Community Development Centre
15. My Journey
16. Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)
17. Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM)
18. Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN)
19. Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK)
20. Sahabat Rakyat 人民之友 மக்கள்த ோழர்கள்
21. Persatuan Alumni Kuen Cheng
22. Kumpulan Anak Muda Teori Timur
23. KL & Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH)
24. Kelab Bangsar Utama (KBU)
25. Borneo Komrad
26. G25 Malaysia
27. Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM)
28. Beyond Borders
29. Center for Orang Asli Concerns (COAC)
30. Women’s Aid Organisation (WAO)
31. Association of Women Lawyers (AWL)
32. Muslim Professional Forum (MPF)
33. Centre for Independent Journalism (CIJ)
34. Agora Society
35. Bersih 2.0
36. Institute for Leadership and Development Studies (LEAD)
37. Diversity Malaysia
38. Tenaganita
39. Foreign Spouses Support Group (FSSG)
40. Justice for Sisters
41. North South Initiative (NSI)
42. Pusat KOMAS
43. Malaysia Muda
44. Gerakan Pembebasan Akademik
45. Sabah Women’s Action-Resource Group (SAWO)
46. Greenfriends Sabah
47. Pertubuhan Nadi Pembela
48. Malaysians Against Death Penalty and Torture (MADPET)
49. Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4)
50. All Women’s Action Society (AWAM)