GHAIRAH MENGISLAMKAN ORANG ASLI?

Pada hari kedua Kem Hak Asasi Manusia anjuran Akademi Demokrasi Malaysia, kami banyak berdiskusi tentang hak-hak orang asli dan penindasan serta kezaliman yang sedang mereka hadapi.

Salah seorang peserta kem tersebut merupakan seorang aktivis yang sudah bertahun-tahun keluar masuk ke kampung orang asli untuk mengkaji dan mewujudkan solusi bagi masalah yang sedang mereka hadapi – dan ketika beliau bercerita dan berkongsi pengalaman, kami terkejut kerana hakikatnya masih banyak yang belum kami tahu dan cakna.

Antaranya adalah sikap ghairah segolongan ‘pendakwah’ yang terburu-buru masuk ke dalam kampung orang asli dan mengislamkan seramai mungkin orang-orang asli di sana tanpa ada perancangan yang strategik dan usaha yang berbentuk ‘Touch N Go’.

Touch N Go ini bagaimana?

Mereka ‘rakus’ mengislamkan semua orang asli yang ada di kampung tersebut, duduk di sana lebih kurang seminggu dan selepas itu berlalu pergi tanpa sebarang usaha mengikuti perkembangan terkini (follow up) komuniti orang asli tersebut. Meninggalkan dan melepaskan mereka untuk hidup begitu sahaja.

Rupa-rupanya apabila dikorek cerita, golongan so called ‘pendakwah’ ini mendapat bayaran ribuan Ringgit untuk setiap orang asli yang berjaya mereka Islamkan – hingga ada ‘pendakwah’ yang sanggup melacurkan hukum agama agar orang asli yang mereka dekati itu memeluk Islam seperti apabila mereka mendapat tahu bahwa komuniti orang asli di sana gemar dan suka memakan daging babi, mereka berkata kepada komuniti tersebut bahwa dalam Islam tidak mengapa untuk makan babi, hanya semata-mata agar mereka mengucap dua kalimah syahadah dan memeluk Islam.

Selepas itu keluar dari kampung orang asli dengan bangganya menyatakan bahwa mereka telah mengislamkan ramai orang asli di sana. Aku rasa macam nak pukul mereka kalau aku jumpa. Ini bukan dakwah.

Kemudian aktivis tersebut berkongsi tentang usaha pendakyah Kristian (missionaries) yang lebih tersusun dan efektif perancangan mereka dalam menyebarkan ajaran mereka.

Sebagai contoh, golongan pendakyah Kristian ini ada yang menetap bertahun lamanya untuk mencipta hubungan yang erat dan membuatkan orang asli di sana merasakan bahwa mereka adalah sebahagian dari komuniti orang asli tersebut. Dari hubungan yang erat itu, lebih mudah untuk mereka menyampaikan ajaran Kristian mereka dan tidak cukup dengan itu, mereka akan terus mengadakan sesi mengikuti perkembangan semasa sebagai bukti bahwa usaha mereka adalah usaha yang konsisten.

Banyak yang kita boleh belajar dari gerak kerja dan usaha penyebaran ajaran Kristian oleh kumpulan pendakyah Kristian seperti ini.

Jika kita merasakan bahwa agama Islam itu adalah agama yang benar dan membawa ajaran-ajaran Tuhan yang baik serta mulia – maka kita perlu lebih berusaha melahirkan golongan pendakwah yang bersungguh-sungguh mempelajari dan mempraktikkan metodologi dakwah yang sesuai dengan keadaan komuniti orang asli di kawasan pedalaman.

Cuba untuk menilai keadaan mereka dari pelbagai aspek seperti kemiskinan yang mereka hadapi, pendidikan yang adil untuk anak-anak di sana, dan juga bekalan sumber makanan yang terjejas (oleh pembalakkan dan pembakaran hutan serta pencemaran air sungai). Itu yang lebih utama untuk diselesaikan berbanding datang-datang sahaja kepada mereka terus memaksa mereka menerima Islam dan mengajar Al-Qur’an. Itu bukan Islam, itu adalah satu bentuk penindasan yang dilakukan di atas nama agama.

p/s: Penulis merupakan salah seorang ahli Kem Hak Asasi Manusia 2018. Tulisan beliau boleh didapati di https://www.facebook.com/inchefaris/posts/2278531685510760