Kenyataan Media Teoh Beng Hock Trust for Democracy pada 11 Oktober 2018 di Petaling Jaya

 

KERAJAAN DIGESA UNTUK MERATIFIKASI DAN MENGAPLIKASIKAN PROTOKOL PILIHAN KEDUA KONVENSYEN ANTARABANGSA MENGENAI HAK SIVIL DAN POLITIK DALAM PEMANSUHAN HUKUMAN MATI

 

Teoh Beng Hock Trust for Democracy (TBHTfD) menyokong pengumuman kerajaan dalam pemansuhan kepada undang-undang yang mengenakan hukuman mati sebagai hukuman terakhir kepada pesalah. Dikatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong bahawa pindaan ini akan dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat yang akan datang iaitu pada 15 Oktober 2018.

 

Namun, TBHTfD juga mengesa agar kerajaan meratifikasi dan mengaplikasikan Protokol Pilihan Kedua Konvensyen Antarabangsa Mengenai Hak Sivil Dan Politik Dalam Pemansuhan Hukuman mati (ICCPR Optional Protocol 2), sebagai satu langkah untuk melengkapkan pemansuhan hukuman mati.

 

Janji 27 Buku Harapan berikrar akan memansuhkan hukuman mati mandatori dalam semua akta. Janji 26 Manifesto tersebut juga berjanji untuk meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Hak Politik dan Sivil. Maka, meratifikasi Protokol Pilihan Kedua merupakan satu usaha sambungan (extended effort) kerajaan Pakatan Harapan dalam melindungi hak sivil dan politik rakyat Malaysia secara keseluruhan.

 

Setiap kehidupan manusia adalah berharga. Nilai seorang manusia itu tidak berkurang sekalipun jika dia adalah seorang pembunuh. Malah meletakkan hukuman seseorang ke atas juri dan hakim hanya memburukkan lagi keadaan. Dengan kelemahan dan kesilapan sistem keadilan yang sedia ada ini, tidak dapat kita elakkan berlakunya hukuman mati kepada mereka yang tidak bersalah.

 

Sudah tibanya masanya, Malaysia baru ini berhenti merampaskan hak nyawa rakyat yang dilindungi dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia 1948. Sistem perundangan memang tidak akan pernah sempurna, maka kita yang harus bertanggungjawab dalam mengisi kelompongan kegagalan ini untuk mencapai keadilan yang substantif.

 

Teoh Beng Hock Trust for Democracy