Kenyataan Media Teoh Beng Hock Trust for Democracy pada 11 Julai 2018 di Petaling Jaya

 

TBH TRUST FOR DEMOCRACY KECAM SOAL SIASAT MELANGKAUI WAKTU BEKERJA

 

Kami ingin menyatakan kerisauan kami dengan kaedah siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mutakhir ini yang menonjol dalam menjalankan pelbagai siasatan kes berprofil tinggi sejak bermulanya kerajaan Pakatan Harapan mentadbir negara ini.

 

Dalam kes melibatkan Riza Aziz, beliau telah disoal siasat selama 9 jam pada hari pertama siasatan (5 Julai 2018) manakala pada hari berikutnya (6 Julai 2018) siasatan selama 6 jam. Pada hari ketiga siasatan Riza Aziz, SPRM mengambil masa selama hampir 8 jam dalam menjalankan soal siasat mereka. Apa yang paling merisaukan kami SPRM menjalankan siasatan mereka sehingga jam 10.30 malam.

 

Amalan agensi siasatan dalam menjalankan proses soal siasat yang melangkaui waktu bekerja sewajarnya dihentikan bagi mengelak sebarang penyelewengan kuasa pegawai penguatkuasa. Soalsiasat SPRM terhadap Teoh Beng Hock di SPRM Selangor pada tahun 2009 adalah bukti terbaik menunjukkan bagaimana SPRM menjalankan penyelewengan kuasa selepas melangkaui waktu bekerja, sehingga Beng Hock dibunuh di Plaza Masalam, Shah Alam.

 

Dalam kes Teoh Beng Hock, mendiang dipanggil untuk memberi keterangan hanya bermula jam 5 petang pada 15 Julai 2009 dan pihak SPRM mendakwa mendiang habis memberi keterangan lebih kurang pada pukul 5 pagi. Malah, pada jam 12 tengah malam ketika ADUN Seri Kembangan YB Ean Yong Hian Wah memohon untuk berjumpa dengan mendiang, permintaan tersebut ditolak. Beng Hock kemudiannya ditemui mati pada hari berikutnya di perkarangan SPRM. Mahkamah Rayuan telah membuktikan badan mendiang mempunyai kecederaan sebelum jatuh dari bilik soalsiasat.

 

SPRM telah diberi kuasa yang besar sehingga membolehkan penyalahgunaan kuasa berlaku. Peraturan lokap polis jelas menyatakan apa juga soal siasat yang dijalankan oleh polis mesti dijalankan di antara 9 pagi hingga 5 petang, ia merupakan satu peraturan yang diterima bagi melindungi hak rehat orang tahanan.

 

Teoh Beng Hock Trust for Democracy telah menyeru kerajaan untuk meminda seksyen 30 Akta SPRM untuk menghadkan tempoh soal siasat pegawai SPRM seperti mana dinyatakan dalam peraturan lokap polis. Langkah ini penting bagi melindungi hak nyawa dan hak rehat orang tahanan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Pengisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia Sedunia.

 

Kami amat berharap kecelakaan seperti Beng Hock tidak berulang lagi dan mengecam sebarang siasatan yang melangkaui waktu bekerja diamalkan di dalam mana-mana agensi penguatkuasa.

 

Sungguhpun SPRM mempunyai tanggungjawab bagi melengkapkan siasatan berhubung kes 1MDB yang melibatkan wang berbillion ringgit, namun hak individu tersebut haruslah dihormati.

 

Kenyataan ini dikeluarkan oleh Pengarah Eksekutif TBH Trust for Democracy, sdr FAISAL BIN MUSTAFFA.