Kenyataan Media Teoh Beng Hock Trust for Democracy (TBH Trust) pada 21 Jun 2018 di Petaling Jaya

KEMBALIKAN KEPERCAYAAN RAKYAT

Kami menyambut baik kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Kewangan, YB Lim Guan Eng semalam berhubung dengan persetujuan dalam Mesyuarat Kabinet untuk membuka semula kes kematian Teoh Beng Hock.

Kami memerhati secara dekat perjalanan kes yang berlaku sepanjang Inkues pada tahun 2009, sehinggalah tertubuhnya Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) pada tahun 2011. Pada 5 September 2014, Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa kematian Teoh Beng Hock berpunca daripada beberapa kecederaan akibat jatuh daripada tingkat 14 Plaza Masallam disebabkan paksaan yang tidak berlandaskan undang-undang oleh beberapa individu yang tidak dapat diketahui termasuk pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang menahan dan menyoalsiasat mendiang. Kecederaan di tengkuknya membuktikan mendiang dibunuh ketika dalam tahanan SPRM.

Kami amat berharap dengan pembukaan semula kes kematian yang suatu waktu dulu mengejutkan seluruh rakyat Malaysia dapat mengembalikan kepercayaan rakyat mengenai sistem pentadbiran terdahulu yang secara terang gagal untuk memberikan keadilan berdasarkan keputusan mahkamah. Ia juga dapat memberikan keadilan kepada keluarga mendiang.

Kami menggesa agar kerajaan baru yang dibentuk ini dapat menubuhkan sebuah pasukan penyiasat bebas yang dipimpin individu-individu yang berintegriti memandangkan pasukan khas sebelum ini yang diketuai Timbalan Pengarah Siasatan Jenayah Polis diRaja Malaysia, Datuk Amar Singh gagal untuk mengheret pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan. Amar SIngh bersama bekas Peguam Negara Abdul Gani Patail telah melindungi pegawai-pegawai SPRM daripada salahlaku dengan menyatakan bahawa tiada elemen jenayah dalam kematian Teoh.

Pada 16 Julai ini genap sembilan tahun Bekas Pembantu Politik Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Selangor, YB Ean Yong Hian Wah didapati mati semasa disoalsiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Plaza Masallam, Shah Alam. Beliau dipanggil untuk memberi keterangan di pejabat SPRM pada 15 Julai 2009 dan pada keesokan harinya pada 1.30 petang mayat mendiang dijumpai di beranda luar tingkat lima bangunan yang sama.

Kami juga memohon agar kes Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbaini Mohamed juga dapat dibuka semula dan dibicarakan. Seperti mendiang Teoh, arwah Ahmad Sarbaini ditemui mati di bangunan SPRM Kuala Lumpur pada 6 April 2011.

ends

Kenyataan ini dikeluarkan oleh Pengarah Eksekutif TBH Trust, sdr FAISAL BIN MUSTAFFA.