Kenyataan Media Gerakan Malaysians for Beng Hock

Gerakan Malaysians for Beng Hock mengecam intimidasi politik dan keganasan terhadap Mahasiswa yang berlaku di Pekan, kawasan Parlimen Perdana Menteri Najib Razak di Pahang. Kami menggesa Najib Razak mengambil pendirian dalam insiden ini, jika beliau tidak menegur tindakan samseng sebegini, masyarakat Malaysia akan anggap Perdana Menteri bersetuju dengan intimidasi politik dan keganasan yang terjadi di kawasan parlimen beliau.

Berdepan dengan cabaran gerakan mahasiswa yang berhasrat menempatkan calon dalam pilihanraya umum akan datang, Najib Razak, yang berkemungkinan besar calon Barisan Nasional di Pekan, sepatutnya bertanding secara beradab dengan calon mahasiswa. Kami menyokong seruan mahasiswa bahawa Najib Razak harus berdebat dengan calon mahasiswa, malah kami sudi menyediakan platform untuk kedua-dua calon supaya berdebat tentang dasar-dasar kerajaan, terutamanya dalam bidang demokrasi, hak asasi manusia dan pendidikan.

Kami mengutuk kenyataan Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendent Yahaya Othman bahawa mahasiswa harus berjumpa dengan ketua kampung dahulu sebelum mengedarkan risalah-risalah kepada penduduk.

Hak Kebebasan Bergerak rakyat telah termaktub dalam artikel ke-9 Perlembagaan Persekutuan iaitu semua rakyat berhak bergerak secara bebas di dalam persekutuan Malaysia dan tinggal di mana-mana bahagiannya. Tanggungjawab polis ialah untuk menjaga keselamatan rakyat dan mengambil tindakan terhadap pelanggar undang-undang.

Menurut laporan polis kumpulan mahasiswa, pihak polis dikehendaki membuat siasatan terperinci di bawah kod penal, iaitu artikel 350 serangan jenayah dan artikel 506 intimidasi jenayah. Pihak polis harus ’buat kerja sendiri’ dan bertindak secara profesional, bukannya bertindak seolah-olah penjaga kepentingan Barisan Nasional sahaja.

Malaysians for Beng Hock juga akan melancarkan kempen di kawasan parlimen Pekan semasa pilihanraya umum ke-13, kami akan membawa isu demokrasi dan hak asasi manusia ke kawasan parlimen tersebut untuk mendapatkan sokongan calon-calon, seperti isu persecution politik Teoh Beng Hock dan kematian dalam pusat-pusat tahanan.

Chong Kok Siong

Penyelaras

Malaysians for Beng Hock