Liew Chin Tong | Jul 13, 2012 06:39:08 pm

Sejak DAP diasaskan pada tahun 1966, tidak kurang pemimpin yang mengalami penindasan politik, dan ramai juga anggota parti yang dipinggirkan dari segi ekonomi dan sosial.  Rakan seperjuangan yang menyertai DAP sedikit sebanyak telah membuat persediaan dari segi mental.  Namun, Teoh Beng Hock adalah satu-satunya rakan seperjuangan yang meninggal kerana ini.  Ia menjadi kepiluan buat selama-lamanya dalam hati kita.

Kematian Teoh Beng Hock, menjadi kepiluan dalam hati yang sukar diredakan untuk setiap warga Malaysia yang menghambat keadilan.  Dari inkues ke Suruhanjaya Diraja, kebenaran sukar dicari.  Namun, dua hakikat yang paling asas, Teoh Beng Hock disoal-siasat sebagai seorang saksi, malah bukan sebagai seorang suspek.  Hakikat yang satu lagi, Teoh Beng Hock mati dalam tahanan (custodial death).  Dalam sesebuah negara demokrasi, kedua-dua perkara ini memadai untuk menuntut agar menteri atau pegawai dari unit berkenaan meletakkan jawatan.

Untuk memahami pengorbanan Teoh Beng Hock, kita perlu meneliti senario politik sejak tsunami politik pada 8 Mac 2008.  Barisan Nasional hampir tenggelam di Semenanjung Malaysia, memenangi 85 daripada 165 kerusi, dengan 49% undi popular.  Malah, BN hanya memenangi 51% undi popular di seluruh Malaysia.

Antaranya, tsunami politik di negeri Selangor amat mengejutkan.  Dalam PRU 2004, hanya dua orang ADUN pembangkang di Selangor.  Menteri Besar ketika itu, Khir Toyo mendakwa BN Selangor mahu mencapai “sifar-pembangkang” dalam PRU akan datang.  Keputusan PRU 2008 memperlihatkan Pakatan Rakyat memenangi 36 kerusi, dengan BN 20 kerusi sebagai pembangkang.

Sejak pasca PRU 2008, sehinggalah Khir Toyo meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang lantaran pendakwaan atas tuduhan penyalahgunaan kuasa pada tahun 2010, Khir Toyo cuba menggunakan pelbagai cara untuk menggulingkan kerajaan negeri Selangor.  Orang di sisi bekas Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi pernah memberitahu saya, beberapa hari selepas 8 Mac 2008, Khir Toyo asyik mengharapkan lampu hijau daripada Abdullah untuk merampas kuasa di Selangor dengan menimbulkan huru-hara.  Berkali-kali Khir Toyo cuba berunding dengan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Hasan Ali untuk menubuhkan kerajaan gabungan UMNO-PAS di Selangor.

Rampasan kuasa Perak pada Februari 2009 telah memberangsangkan panglima-panglima BN Selangor, menaruh harapan untuk merampas kuasa di Selangor dengan meniru “model Perak”, iaitu melalui pembelian dan penganiayaan (dalam kes Perak, dua orang ADUN yang mengkhianati PKR disiasat Badan Pencegah Rasuah).

Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim pernah disiasat dalam isu lembu korban (isu lembu kondominium yang membabitkan Shahrizat Abdul Jalil kini menjadi sindiran kepada diri BN yang menuntut siasatan terhadap MB Khalid Ibrahim ketika itu), siasatan terhadap EXCO Ean Yong Hian Wah dalam kes peruntukan RM2000 yang disyaki ada unsur penyelewengan – boleh dibaca dalam konteks ini.

Namun, kematian Teoh Beng Hock telah mematahkan kemaraan “model Perak” yang cuba diulangi BN di Selangor.  Untuk makna tertentu, politik demokrasi di Malaysia berkembang, tsunami 308 tidak ditelan sepenuhnya “model Perak” – adalah disebabkan nyawa Beng Hock.  Beng Hock menjadikan nyawa dirinya sebagai batu untuk mengalas jalan pendemokrasian Malaysia.  Kesemua kita terhutang budi kepada Beng Hock.

Tsunami politik 308 sebenarnya menjadi peluang untuk BN mereformasikan dirinya dan kemajuan Malaysia ke arah yang lebih baik.  Masyarakat Malaysia telah menghampiri tahap sebagai masyarakat demokrasi yang selesa dengan senario 50-50, di mana sokongan untuk pemerintah dan pembangkang tidak jauh berbeza.  Seandainya BN menerima hakikat bahawa Malaysia sebenarnya sama seperti negara demokrasi lain, yang boleh menyaksikan pertukaran kerajaan, sistem semak dan imbang yang sempurna, wujud rundingan antara pemerintah dengan pembangkang – Teoh Beng Hock semestinya masih hidup.

Namun, BN menjadikan keputusan pilihan raya umum pada tahun 2004 sebagai kayu ukur, mencuba sedaya upaya untuk mengekalkan senario pendominasian sesebuah parti.

Malangnya, Teoh Beng Hock terkorban lantaran daripada terdesaknya regim yang sedang meronta-ronta ini.  Sesungguhnya orang yang mati tidak boleh hidup semula.  Memahami era di mana Beng Hock meninggal, dengan harapan kita melangkaui kepiluan individu, cuba sedaya-upaya untuk membina sistem demokrasi di Malaysia.  Membina sebuah negara yang menjadi kebanggaan kita, agar kita dengan lega berkata, tiada lagi Teoh Beng Hock kedua dalam negara kita.

Jikapun satu hari kemudian apabila kami memegang tampuk kuasa di peringkat persekutuan, wajib untuk kami memperingati bahawa hasil pendemokrasian masih kekal, tidak ditelan kesemuanya dengan “model Perak”, ini kerana Teoh Beng Hock telah membentengkan kami dengam nyawa beliau.

Pengorbanan Teoh Beng Hock adalah kesedihan keluarga Teoh, DAP dan rakyat Malaysia buat selama-lamanya.  Tiga tahun telah berlalu.  Semoga kita melangkaui kepiluan inidividu, keluarga dan saudara-sahabat Teoh, menggunakan kekuatan dalam diri kita untuk memperjuangkan pendemokrasian Malaysia.

*Tulisan ini dipetik dari buku untuk memperingati Teoh Beng Hock sempena ulangtahun ketiga kematian mendiang (gambar kiri). Ditulis oleh Liew Chin Tong sebagai ahli parlimen Bukit Bendera dalam bahasa Cina, diterjemah dan disunting MerdekaReview dari teks asal.